Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya di bumi Allah ini terdapat bejana-bejana, iaitu hati-hati (hamba-NYA). Yang paling disayangi-NYA ialah yang paling lembut, paling jernih, paling teguh. Yang paling teguh berpegang pada agama, yang paling jernih dalam keyakinannya dan paling lembut kepada sahabatnya.”
Sering benar aku leka
Lalai bersama keindahan dunia
Terkadang aku lupa
Dunia ini pentas semata
Seringkali aku alpa
Kehendak asal aku dicipta-NYA
Aku di sini tidak lama
Dunia hanya persinggahan sementara
Tempat mengumpul bekal untuk menghadap-NYA
Selalu aku berdosa
Suka benar aku berprasangka
Ampuni aku duhai Yang Esa
Firman-MU yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa; dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah pula sesetengah daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah sebahagian daripada kamu memakan daging saudaranya yang mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi amat mengasihani.”
(Surah Al-Hujurat: 12)
Aku buntu!!!
Selalu aku tewas dengan hawa nafsu
Bagaimana hendak ku tarbiahkan hati yang kematu
Membatu dibalut nafsu
Jiwa sepi sedang KAU sentiasa ada untukku
Aku yang sebenarnya berdosa pada-MU
Hingga membuat ketenangan itu menjauh dariku
Firman-Mu lagi:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut ‘Allah’, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-NYA, bertambahlah keimanannya, dan kepada Tuhan merekalah sahaja mereka bertawakkal.”
(al-Anfal: 2)
Aku berlari mencari
Mengejar ampunan Ilahi
Ku tak ingin hati ku mati
Ku mahu hati ku mekar bersama asma Ilahi
Ya Rabbi,
Bantulah aku mendidik hati ini
Jangan KAU biarkan ku sendiri
Tergapai-gapai di sini
Kurniakan aku cahaya hidayah-MU
Anugerahkan pintu ampunan-MU kepadaku
Untuk ku menuju redha-MU
Sabda Baginda SAW lagi:
“Manusia itu dua matanya ibarat petunjuk, dua telinganya ibarat pemberi isyarat awas, lisannya sebagai pentejemah, dua tangannya sebagai sayap, dua kakinya ialah perutusan, hatinya pula sebagai raja. Kalau rajanya baik, maka baiklah bala tenteranya.”
Aku terpana
Sedarlah aku bahawa diri ini teramat leka
Lalai dengan keindahan dunia
Sehingga lupa untuk apa aku dicipta
“Dalam tubuh manusia terdapat segumpal darah, jika baik gumpalan darah itu, maka baiklah seluruh tubuhnya, jika buruk gumpalan darah itu maka buruklah kesemuanya, ketahuilah bahawa gumpalan darah itu ialah hati.”
“Sesungguhnya hati itu berkarat seperti berkaratny besi…”
Tapi aku??
Hatiku??
Ah, hinanya terasa
Aib pada diri sendiri
Aib lagi pada Rabb yang menciptakan diri ini
Sering aku mengaratkan hati dan jiwa
Kurniaan Ilahi
Ya Allah yang membolak-balikkan hati
tetapkanlah hatiku atas agama-MU
tetapkanlah hatiku atas ketetapan kepada-MU.
Amin..
No comments:
Post a Comment