Friday, December 3, 2010

Mencari Diri Yang Hilang

Mencari diri yang hilang,
Di kejatuhanku aku tunduk,
Terduduk...
Mencari diri yang hilang.

Mencari diri yang hilang,
Di awanan terkepung asap tebal,
Lemas, kesesakan...

Mencari diri yang hilang,
Di balik kekecewaan,
Menggalas rasa-rasa yang terbeban.

Mencari diri yang hilang,
Di kejauhan,
Hilang rasa berTuhan,
Hilang rasa kehambaan,
Hilang kasih persaudaraan.

Mencari diri yang hilang,
Berselindung senyuman,
Mengejar bayang-bayang dalam kegelapan.

~Tinta jiwa
1:32 am
03122010
Mencari diri yang hilang
(Kerana ku tau akan maknanya)

Tulus Persahabatan

buat teman
syukur sungguh hati ini
dikurniakan teman sejati
menunjukkan jalan dekat dengan-Nya
jika diri dalam kebuntuan
betapa aku menghargai kejujuran yang kau beri
mengajarkanku erti cinta hakiki yang abadi
tiada yang menjadi impian
selain rahmat kasih-Mu, Tuhan
yang terbias pada ketulusan sekeping hati
seorang insan
bernamaTEMAN
“Salam sayang dariku..
Jagalah dirimu baik-baik,
Usahakanlah kemuliaannya
Kerana engkau dipandang manusia
Bukan kerana rupa,
Tetapi
Kesempurnaan budi dan adab
-Nabi SAW-
Jaga diri sahabatku..
Tahulah engkau dirimu dirindui selalu..
Moga dirimu mendapat sendi-sendi kebahagiaan.”

From: Ms.jaja


Bait katamu membuatku terkesan
Bersama kata kau titipkan keikhlasan
Lambang ketulusan seorang teman
Sesungguhnya, tiada lain yang ku dambakan
Hanya tulus kasih persahabatan
Saat aku resah kesedihan
Kau hadir memberi pertolongan
Bantuan kau hulur tanpa pinta balasan
Betapa aku dipeluk kebahagiaan
Terasa ingin memohon waktu berhenti berjalan
Ku ingin terus dalam kehangatan
Kasih seorang teman
Kerana ku yakin
Kasih persahabatan ini hanya kerana Tuhan
Namun terkadang
Aku tertanya sendirian
Bagaimana hendak aku katakan
Bagaimana hendakku luahkan
Rasa kasih dan sayang buatmu teman
Marilah bersama berjalan di atas ketaqwaan
Untuk menggapai redha Tuhan

by: Tinta Jiwa

Saturday, November 20, 2010

Lorong Gelap

Sahabat,
Aku melalui lorong-lorong gelap,
Lalu ku tinggalkanmu sekejap
Cahaya-cahaya di depan terlalu malap
Aku tak mahu kau teraba-raba bersamaku…
Kita berjumpa di gerbang sana,
InsyaAllah di bawah cahaya,
Cahaya kasih Yang Esa….

Wednesday, November 3, 2010

Tangisan

Baru sedikit Allah mendugaku,
Ibarat dipukul angin...
Tapi aku?
Merasakannya seperti dilibas pedang!!
Ah! Lemahnya iman!
Di saat ujian bertandang,
Hati mula goncang…
Dan matalah yang menjadi saksi keperitan,
Menanggung kesakitan…
Sedang untuk apa tangis itu?
Tangisan kehambaan atau kemarahan??
Aku takut!!!
Takut pada tangisan itu…
Jika benar itu tangisan seorang hamba,
Pasti aku merasai kemanisannya.
Ketenangannya…
Tapi aku…??
Terluka bersama tangisan yang terlahir…
Hanya kecewa pada setiap manik yang luruh…
Dan aku tidak tahu
Untuk apa dan untuk siapa tangisku…
Mungkin aku patut memujuk diri,
Belajar mengerti bahawa tiada siapa yang memahami,
Dan tiada apa yang sempurna di dunia ini…
Semoga tenanglah jiwa,
Damailah hatiku ini…
Sekalipun aku sendiri…
Supaya nanti aku bisa redha dengan ketentuan Ilahi…

Terendam luka...

Sakitnya memendam rasa
Terendam luka
Rasa-rasa ini cukuplah hanya aku bersamanya
Jangan kau menyimbah cuka
Cukuplah dengan luka-luka yang ada…..

Tuesday, November 2, 2010

Mari merenung diri

Sahabat,
Mari kita pejamkan mata sebentar
Tenangkan diri…
Ikhlaskan hati…
Mari merenung diri…
Menerobos waktu-waktu yang telah berlalu
Hari berganti hari
Siang berganti malam
Usia semakin meningkat
Tapi mujahadah diri masih melemah
Mari sahabat kita bentengkan hati
Dengan ketaqwaan
Biar kebal keimanan
Agar bila mati yang pasti menyeru
Kita bias menyahut tanpa takut
Bersediakah kita menghadap Pencipta?
Renungilah…

~Tinta Jiwa

Sunday, October 31, 2010

Aku, Ibarat Kertas Kumal Bergumpal

Ketidaktenangan yang kita alami jauh bedanya…
Kerana kalian tidak tahu apa yang kurasakan…
Dan jika ada yang bertanyakan,
Pastinya tak mampu untukku luahkan…

Rasa-rasaku di lubuk paling dalam ini,
Hanya aku yang mengerti…
Dan Tuhanku pastinya teramat memahami
Tanpa perlu ku jelaskan lagi,
Yang selalu di sisi,
Setia menemani…
Menjadi saksi setiap lakuku…

Mungkin sedikit rasa yang sedang kurasai
Pernah kau alami suatu ketika dulu,
Dan apa yang sedang kamu lalui
Juga cuba ku jiwai untuk memahami dan mengerti…
Tiap-tiap kita diuji dengan tahap yang berbeza…
Dan teramat kerdil rasanya bila dilanda ujian,
Diri melemah bagai tiada harapan…
Terasa ibarat kertas kumal yang bergumpal…

Luka-luka jiwaku,
Biarlah aku sendiri mengubatnya,
Mungkin aku patut belajar memujuk diri,
Sekalipun terasing sepi…

Tak ku pinta sesiapa bersama di langkahanku,
Cukuplah DIA denganku,
Kerana aku cukup kecewa dengan segala apa yang ada…
Mungkin DIA ingin menegur,
Mengajarku di saat aku memuja yang tak sempurna…
Dan akhirnya,
Yang kudapat hanyalah
Kecewa…
Terluka…

Tiupan-tiupan semangat itu,
Di penghujungnya melemahkanku…
Terima kasih kepada mereka yang membuatku hilang percaya…
Membuat ku tahu nilai manusia dan dunia…

28 Sept 2010
07:37:10 pm

Bukan Amarah

Bila aku meninggalkan
Bukan bererti kumemarahi
Jauh sekali membenci
Tapi kerna kuterlalu menyayangi
Tak tegar tuk terus disakiti
Apatah lagi kiranya jika aku yang menyakiti
Yang terbaik
Ku meminggir diri
Membiarkan jarak dan waktu memisahkan
Izinkanku
Kerna takkan pernah kuberhenti
Menyebut namamu
Di sepanjang doaku berlagu

Semoga Allah meredhaimu…
Meredhaiku…


Tinta jiwa

Wahai Diri, SEDARLAH…

Duhai hati yang dulu pernah berjanji,
Ingatkah lagi launganmu pada Rabbi?
Setiap hari kau melirih tanpa sepi,
Tiada jemu…
Tapi mengapa kini kau seakan melupai
Janji-janji yang kau taburi?

Ingatlah wahai diri,
Bila Dia mengujimu tanpa henti,
Itu tandanya Dia menyayangimu,
Dia ingin mendengar suara lirihmu,
Merintih memohon kekuatan,
Tabahlah wahai hati...
Kerana Allah ingin memberi peluang kepadamu,
Dia menegurmu atas kekhilafan,
Dan kesongsangan langkamu,
Yang tersasar dari sejadah iman...

Jika kau merasa lelah dan tidak berdaya,
Dan segala tenaga seperti sia-sia,
Sedarlah,
Allah tahu betapa keras engkau berusaha,
Dan Dia sebenarnya mahu mengampunimu,
Tika kau menangis sekian lama,
Menitiskan air mata hanya kerana-Nya,
Dan hatimu masih terasa pedih,
Ketahuilah,
Allah SWT telah menghitung setiap titis
Air yang mengalir dari kelopak matamu,
Untuk memadam bintik-bintik gelap,
Noda-noda hitam,
Di sepanjang perjalanan hidupmu...

Jika hidupmu sedang menanti sesuatu yang bahagia,
Namun, waktu dirasakan berlalu begitu saja,
Tiada apa….
Dan kau hampa….
Sedarlah,
Allah ingin memberi pahala sabar kepadamu...

Wahai hamba yang terpilih
Di pentas kehidupan ini
Tatkala kau berasa sendirian
Sunyi tiada berteman
Dan hanya ditemani luka-luka ujian
Berbicaralah dengan Allah
Kerana Dia selalu berada di sampingmu
Dan tidak pernah bosan mendengar luahanmu

Wahai diri yang teruji,
Saat kau fikir bahawa
Kau telah mencuba segalanya
Dan tidak tahu hendak berbuat apa,
Bertanyalah dengan bersolat...
Sujudlah kepada-Nya Yang Maha Agung
Kerana Allah sentiasa ada jawapannya...

Ketika segala sesuatu menjadi tidak masuk akal
Dan dikau berasa tertekan,
Luahkannya kepada Allah di dalam doamu...
Dia pasti mendengar tiap bait yang kau sampaikan,
Berdoalah dengan penuh yakin
Kerana Allah tidak mendengar doa dari hati yang lalai...
Mohonlah dengan jelas permintaanmu,
Kerana Allah tidak memberati jika kau tidak bersungguh...

Ujian itu tarbiah dari-Nya...
Kerana Dia merinduimu...

Duhai hamba bernama manusia,
Setelah masa lama berlalu,
Tiba-tiba...
Kau dapat melihat jejak-jejak harapan,
Ketahuilah bahawa Allah SWT telah memberimu petunjuk
Ketika segala sesuatu sedang berjalan lancar
Dan dikau berasa kelegaan...
Tandanya Allah telah memberkatimu...
Tatkala sesuatu yang indah terjadi,
Dan hatimu dipenuhi ketakjuban,
Bermakna Allah SWT sedang merahmatimu...

Wahai diri...
Sesudah segala apa yang kau lalui,
Sedarlah,
Allah menegurmu,
Memberimu masa,
Untuk memperbaiki masa lalu,
Bagi menjernihkan jalan pulang...
Dia menyayangimu...
Merindui rintihanmu yang penuh rasa kehambaan...

Fahamilah...
Allah SWT ingin mengindahkan hidupmu,
Agar engkau berada di jalan mardhatillah...

Wahai hamba yang taat,
Di mana pun atau ke mana pun engkau,
Dan bagaimana pun keadaanmu,
ALLAH TAHU….
DAN SENTIASA TAHU….

Kerana Dia Maha Mengetahui yang nyata
Mahu pun yang tersembunyi...
Dan sedarlah,
Hanya Dia dapat menenangkanmu...

22/09/2010
3.00 pm
Wahai Diri,SEDARLAH...
Sajak: Ibu… Hanya Allah Yang Tahu
Semenanjung Utara
ANIS
Tinta Jiwa
~ Buat diri yang melemah

Saturday, October 30, 2010

Pesanku...

Sebelum aku dijemput pulang, terlalu banyak hal lagi yang ingin aku laksanakan..
Aku menggalas, mendukung, mengusung rasa ini..
Dan jika ditakdirkan aku pergi dulu,
Usahlah dikau bersedih..
Usah kau berdurja..
Aku…
Mungkin bukan insan yang paling kau sayangi,
Tapi ketahuilah…
Engkaulah antara hamba-Nya yang teramat aku sayangi dalam hidup ini..
Jika kesedihan mendatangimu kerana aku,
Maafkan aku…
Pesanku…
Jangan biarkan rasa-rasa itu memakan hati dan dirimu..
Siapa tahu kalau-kalau aku tiada berkesempatan untuk menyampaikan risalah ini di waktu yang lain,
Maka adalah lebih baik aku meluahkan,
Daripada hanya menyimpan…
Memendam….
Kerana rasa-rasa inilah yang menyedarkan,
Membuat aku merasa dekat dengan Tuhan…

~Tinta Jiwa~

Sunday, October 17, 2010

Mengusung Rindu

Sahabat yang ku kasihi
Kau selalu dirindui
Masih ku ingati detik pertemuan
Dan tiada terbayang saat perpisahan
Kita terpisah jarak waktu
Tapi hati kita tetap menyatu
Jiwa kita padu
Kerana Allah Yang Satu
Semoga terubat kerinduan ini bila kita bertemu
Doaku agar
Saat itu datang lagi
Mengubat rindu di hati ini

~Tinta Jiwa~
(Rindu yang Bertamu)

Sunday, October 3, 2010

Bawaku ke Syurga

Sahabat,
Seandainya aku leka dengan dunia
Terjerat dengan tipu daya mereka
Hingga tersadung ke lembah durja
Tergelincir aku ke lembah neraka
Heretlah aku!! Sambut dan gapai tanganku
Jangan pernah tinggalkan aku
Jangan biarkan aku bermandikan dosa
Berenang dalam murka-NYA
Bawalah aku bersama
Berjalan menggapai redha-NYA
Menuju Syurga Ilahi nan abadi
~Tinta jiwa~

Monday, August 30, 2010

Hati yang kematu

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya di bumi Allah ini terdapat bejana-bejana, iaitu hati-hati (hamba-NYA). Yang paling disayangi-NYA ialah yang paling lembut, paling jernih, paling teguh. Yang paling teguh berpegang pada agama, yang paling jernih dalam keyakinannya dan paling lembut kepada sahabatnya.”

Sering benar aku leka
Lalai bersama keindahan dunia
Terkadang aku lupa
Dunia ini pentas semata
Seringkali aku alpa
Kehendak asal aku dicipta-NYA
Aku di sini tidak lama
Dunia hanya persinggahan sementara
Tempat mengumpul bekal untuk menghadap-NYA
Selalu aku berdosa
Suka benar aku berprasangka
Ampuni aku duhai Yang Esa

Firman-MU yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa; dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah pula sesetengah daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah sebahagian daripada kamu memakan daging saudaranya yang mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi amat mengasihani.”
(Surah Al-Hujurat: 12)

Aku buntu!!!
Selalu aku tewas dengan hawa nafsu
Bagaimana hendak ku tarbiahkan hati yang kematu
Membatu dibalut nafsu
Jiwa sepi sedang KAU sentiasa ada untukku
Aku yang sebenarnya berdosa pada-MU
Hingga membuat ketenangan itu menjauh dariku

Firman-Mu lagi:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut ‘Allah’, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-NYA, bertambahlah keimanannya, dan kepada Tuhan merekalah sahaja mereka bertawakkal.”
(al-Anfal: 2)

Aku berlari mencari
Mengejar ampunan Ilahi
Ku tak ingin hati ku mati
Ku mahu hati ku mekar bersama asma Ilahi
Ya Rabbi,
Bantulah aku mendidik hati ini
Jangan KAU biarkan ku sendiri
Tergapai-gapai di sini
Kurniakan aku cahaya hidayah-MU
Anugerahkan pintu ampunan-MU kepadaku
Untuk ku menuju redha-MU

Sabda Baginda SAW lagi:
“Manusia itu dua matanya ibarat petunjuk, dua telinganya ibarat pemberi isyarat awas, lisannya sebagai pentejemah, dua tangannya sebagai sayap, dua kakinya ialah perutusan, hatinya pula sebagai raja. Kalau rajanya baik, maka baiklah bala tenteranya.”

Aku terpana
Sedarlah aku bahawa diri ini teramat leka
Lalai dengan keindahan dunia
Sehingga lupa untuk apa aku dicipta

“Dalam tubuh manusia terdapat segumpal darah, jika baik gumpalan darah itu, maka baiklah seluruh tubuhnya, jika buruk gumpalan darah itu maka buruklah kesemuanya, ketahuilah bahawa gumpalan darah itu ialah hati.”

“Sesungguhnya hati itu berkarat seperti berkaratny besi…”


Tapi aku??
Hatiku??
Ah, hinanya terasa
Aib pada diri sendiri
Aib lagi pada Rabb yang menciptakan diri ini
Sering aku mengaratkan hati dan jiwa
Kurniaan Ilahi
Ya Allah yang membolak-balikkan hati
tetapkanlah hatiku atas agama-MU
tetapkanlah hatiku atas ketetapan kepada-MU.
Amin..

Friday, August 20, 2010

Ujian: Teguran Tuhan

Ujian itu teguran Tuhan…
Dia menguji kita sebagai hamba-Nya agar kita sedar akan kesilapan kita terhadap-Nya.
Kita diuji… dan sesungguhnya apa yang menimpa kita adalah kerana kesilapan dan dosa-dosa kita juga. Kerana kita ingkar akan Dia, lalu Dia menegur kita supaya kita tidak terus lalai dengan dosa yang sia-sia. Ya, Dia ingin menyelamatkan kita.. Bersyukurlah dengan segala nikmat-nikmat kurniaan-Nya.
Firman-Nya yang bermaksud;
“…Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi amat mengasihani.”
(Surah Al-Hujurat: 12)

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa) :
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak sanggup memikulnya. Maafkanlah kami; ampuni kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”
-Surah Al-Baqarah: 286)

Ujian itu adalah tanda kasih dan cinta-Nya…
Percaya dan yakinlah wahai hamba yang taat!!

Thursday, August 19, 2010

Wasiat Ayahanda Buat Seorang Puteri

Daripada A’isyah R.A , telah berwasiat RasuluLlah s.a.w dengan sabda baginda :

"Hai A’isyah, aku berwasiatkan wasiat ini, maka hafazkanlah olehmu akannya. Engkau akan senantiasa di dalam kebajikan selagi engkau menghafali wasiatku ini."

"Hai A’isyah, peliharalah dirimu kerana bahawasanya kebanyakan kaum wanita menjadi isi neraka dan kayu apinya."

Lalu aku bertanya : "Wahai Rasulullah, mengapakah sehingga terjadinya sedemikian?"

Jawab baginda : "Kerana mereka tidak sabar di atas kesusahan, tidak memuji Allah atas kemurahan-NYA, mengkufuri nikmat-NYA, banyak berkata pada perkara yang sia-sia. Kaum perempuan juga kurang pada akal dan agamanya. Adapun kurangnya pada agama, bahawasanya perempuan itu pada setiap bulan meninggalkan solat sekian-sekian harinya dan keadaan kurang akal adalah Alah SWT menjadikan 2 orang saksi wanita bagi ganti seorang saksi lelaki.

Hai A’isyah, adalah kebanyakan wanita apabila diberi, tiada bersyukur, dan apabila ditimpa bencana tidak sabar. Apabila dipalingkan muka daripada mereka, mereka akan mengadu-ngadu serta mengkufuri nikmat".

Aku bertanya lagi, "Ya Rasulullah, bagaimanakah yang dikatakan mengkufuri nikmat itu?"

Sabdanya, "Kerana bahawasanya wanita itu di bawah jagaan kaum lelaki, kemudian beroleh anak 2 atau 3 orang, lalu ia berkata, demi Allah tiada aku lihat padamu (suaminya) walau 1 kebajikan pun. Hai A’isyah, apabila berkata seseorang wanita kepada suaminya "tiadalah kulihat 1 kebajikan pun daripadamu", maka ditolak oleh Allah segala amalannya".

"Apabila seseorang wanita menyakiti suaminya dengan lidah, maka Allah akan menjadikan lidahnya pada hari kiamat sepanjang 70 hasta lalu diikat ke belakang tengkuknya".

"Seseorang wanita yang memandang suaminya dengan pandangan jahat dan memalingkan mukanya daripada suaminya, maka pada hari akhirat Allah menghempas muka dan tubuhnya".

"Apabila seseorang wanita itu tidak bertukar tempat tidur atau berpindah tempat tidur serta menyukarkan kerja suami, mengingkari nikmat yang diberi suami atau khianat pada dirinya, ia akan dihitamkan mukanya di akhirat dan kelabu warna matanya. Akan diikat ubun-ubunnya pada kakinya lalu diletakkan syaitan di atas mukanya di dalam neraka".

"Apabila seseorang wanita bersolat untuk Tuhannya, kemudian berdoa untuk dirinya tetapi tidak berdoa untuk suaminya, maka solatnya itu akan dipukulkan ke mukanya sehinggalah ia mendoakan untuk suaminya, kemudian barulah ia berdoa untuk dirinya".

"Hai A’isyah, apabila wanita ditimpakan bala, lalu ia menampar-nampar muka dan mencarik-carikkan kainnya, maka adalah ia bersama isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth di dalam neraka. Dan ia akan berputus asa daripada segala kebajikan akhirat dan daripada syafaa’t di akhirat".

"Hai A’isyah, apabila meratap wanita di atas kematian, maka Allah menjadikan lidahnya sepanjang 70 hasta lalu diseret ke dalam neraka bersama orang-orang yang mengikutinya".

"Hai A’isyah, tiadalah seseorang lelaki itu masuk ke rumahnya dengan memberi salam kepada ahli keluarganya melainkan akan diberi banyak kebajikan kepada rumah itu dan dihindarkan daripada mereka papa. Dia dan ahlinya adalah senantiasa di dalam nikmat dunia serta nikmat akhirat".

"Hai A’isyah, terlalu kerap sahabat ynag aku kasihi, Jibril, mengingatkanku mengenai kebajikan wanita sehingga aku merasakan bahawa mentalakkan wanita itu akan diharamkan. Hai A’isyah, akulah pembela wanita yang ditalakkan oleh suaminya tetapi ia tidak memberi mahar kepada wanita itu".

"Apabila lelaki menegah hak isterinya (pakaian, makanan, dan sebagainya) maka Allah s.w.t akan menegahnya daripada nikmat syurga pada hari akhirat nanti".

"Apabila lelaki yang beristeri ramai tidak berlaku adil antara mereka; tidak sama pada giliran tidur, nafkah, pakaian, makanan dan pandangan; maka ia akan dilaknat oleh ALlah juga malaikat dan manusia sekaliannya".

"Hai A’isyah, tidak hamil seseorang wanita daripada benih suaminya melainkan pada waktu ia mengandung itu akan diberi pahala seperti pahala puasa pada siang hari dan seperti pahala orang solat sepanjang malam serta pahala orang yang berperang di jalan Allah".

"Tidaklah seseorang wanita yang melahirkan anaknya itu melainkan setiap kesakitan itu seperti memerdekakan seorang hamba dan setiap kali ia menyusukan juga seperti memerdekakan seorang hamba. Hai A’isyah, apabila seseorang wanita mengeluarkan susu untuk anaknya, maka berseru suara dari langit : Hai wanita, cukuplah pada amalan yang lalu, maka cukuplah baginya amalan-amalan yang akan datang".

"Hai A’isyah, apabila seseorang wanita meringankan mahar kahwinnya dan isi hantarannya, maka setiap dirham yang dikurangkan itu adalah haji yang mabrur dan umrah yang makbul. Dan diampunkan dosanya serta dosa yang lampau; sama ada disengaja atau tidak disengaja".

"Apabila seseorang wanita itu bersabar atas kejahatan suaminya, maka ia seperti pahala orang yang menumpahkan darah dalam perang sabilillah. Selain itu, ia tergolong dalam golongan 'qanitaat' (banyak ibadah), 'zakiraat' (kuat mengingati Allah), muslimin dan mukminat yang banyak beribadah".

"Maka, bersungguh-sungguhlah kamu. Nescaya kamu akan bersahabat dengan pengikut wanita Nabi Yusuf, Nabi Daud, Nabi Adam, Nabi Nuh, dan Nabi Luth".

Nasihat Syeikh Ali Tantawi kepada Semua Muslimat

Kepada Puteriku…

Wahai puteriku.. Aku seorang bapa yang sedang memasuki usia lima puluh tahun.

Usia muda telah aku lewati aku tinggalkan kenangan, impian, lamunan-lamunan dengan segala ujian-ujian dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan haq yang aku sampaikan secara jelas dan mudah.

Wahai puteriku….Banyak aku menulis, sering juga aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral.

Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan khutbahkan…. Sehingga pena yang aku gunakan menjadi tumpul dan lidahku kelu. Namun tetap tiada hasil yang aku perolehi. Kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya.

Di setiap pelusuk negara perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda negara demi negara, tanpa satu negara Islam yang mampu mengelak.

Sebagai contoh negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yang sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutup auratnya, sekarang masyaALLAH!! Para wanitanya berpakaian terbuka mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tidak akan berjaya. Tahukah engkau apa penyebabnya?

Sebabnya ialah sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu jalannya.

Wahai puteriku, pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau yakin padanya dan engkau berusaha untuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah menjadi baik.

Engkau benar puteriku, bahawa kaum lelakilah yang mula-mula melangkah menempuh jalan dosa bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah laju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.

Engkau berkata kepada pencuri : “Silakan masuk”… Dan setelah engkau kecurian barulah engkau tersedar. Ketika itu barulah engkau berteriak ..”Tolong!!... Tolong!!... Aku kecurian!”

Seandaiya engkau tahu bahawa lelaki itu adalah serigala dan engkau adalah kambing, pasti engkau akan lari seperti larinya kambing dalam ancaman cengkaman serigala.

Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki adalah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspada seorang yang kikir terhadap pencuri.

Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki menginginkan lebih dari sekadar kambing…… Dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.

Lelaki menghendaki yang paling berharga darimu… Iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.

Wahai puteriku….Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu bertelanjang dihadapannya tanpa pakaian!

Aku bersumpah lagi: “Demi Allah, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab”. Bohong!! Bohong!! Demi Allah dia berbohong… Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan antara mereka, pasti engkau takut dan ngeri!

Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal.

Apakah sesudah itu puteriku?
Renungkanlah!!

Bawaku Bersama, Mencari Cahaya

Palitkan sayangmu padaku agar mekar kasihmu yang padu
Tebarkan senyuman agar hilang kesedihan
Palu aku sekuatnya agar ku tabah hadapi semua
Lontarkan aku dengan kata-kata semangat agar bisa ku jadikan azimat
Tembaklah aku dengan doamu agar kekuatanku utuh sepanjang waktu
Walau ku kelu, buntu di jalan berliku
Ku mohon jangan pernah tinggalkan daku
Jangan biarkan aku sendiri mendaki gunung tinggi
Ditemani curam dalam, suram dan kelam
Tanpa bayang-bayang…
Pimpinlah aku
Bawaku bersamamu…
Meniti titian hidup ini
Mencari cahaya di balik gelita

Wednesday, August 11, 2010

Mula Menapak

Salam…
Lama benar aku menghitung….
Mengatur langkah menjejak masa…
Berkira-kira untuk hadir di sini..
Dan hari ini,
Berbekalkan semangat dan izin Allah…
Bersama kekangan waktu, akhirnya aku terlahir di maya ini..
Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat dan anugerahnya yang tak putus…

Sahabat,
Apa yang bakal ku abadikan di sini adalah ‘bayangan hatiku’..
Jika diizinkan, aku ingin melakarkan segala rasaku…
Sedih, resah, gelisah, gundah…
Gembira, bahagia…
Semuanya….
Segala rasa-rasa yang ada…
Tapi, tidak pula ku pinta kalian menyelami dasar hati ini
Kerana kalian tidak akan pernah sampai ke dasarnya,
Kerana dasar hatiku cuma akan DIA yang tahu
Tanpa DIA menyelaminya…
Kerana DIAlah yang menciptakan hati dan jiwaku ini…

Sahabat,
Usah pula kalian bertanya siapa aku
Kerana aku bukanlah siapa-siapa..
Seperti kalian
Sekadar cuma seorang hamba,
Hamba Allah yang terlahir untuk sujud kepada-Nya…
Hamba kepada Penciptaku..
Dan hadirku di sini,
Sekadar untuk menjadikan ruangan ini lapangan hati dan jiwaku…
Ingin aku jadikan ruangan ini rumah mayaku
Dalam meniti titian perjalanan ini,
Demi mencari redha Ilahi

Aku???
Apa mahuku??
Apa inginku??

Aku ingin di sini,
Untuk melahirkan risalah cintaku..
Kerana di sini aku ingin koreksikan diri..
Di sini aku ingin mencurah sepi…
Di sini aku ingin melakar janji
Yang akan aku laksanakan di realitiku…
Dan pastinya yang ku harapkan adalah segala kebaikan, ketenangan dan kebahagiaan mengiringi tiap-tiap bait yang ada di sini… InsyaAllah…
Aku ingin mencahayakan hidupku, hidupmu bersama kasih Ilahi..
Semoga coretan-coretanku bisa memberikan pedoman…
Agar sinarnya terpancar ke dalam hatiku, hatimu dan hati-hati mereka...

Jangan kalian susuli langkahku yang songsang.
Sesungguhnya, aku hanyalah seorang hamba
Yang seringkali lupa dan alpa..
Sesungguhnya aku juga insan biasa,
Lalai dan leka dengan keindahan dunia.
Aku juga lemah, tapi aku mahu bangkit di setiap kejatuhan itu untuk menggapai redha-NYA..
Mari bersama ku…
Untuk terus meniti titian hidup ini, mencari cinta sejati..
Mari menyulam rindu abadi, untuk mengejar redha ILAHI..
Demi bahagia yang hakiki..
Kerana janji Allah itu pasti…

Semoga DIA meredhai aku, kamu, dia, dan mereka…
Semoga DIA meredhai kita, hamba-hamba yang berusaha
Menggapai redhaNYA…
Amin…