Tuesday, May 31, 2011

JAGA DIRI

Duhai sahabat yang teramat kukasihi
“jaga diri”
Selalu aku utuskan kalimat itu…
Itu bukan omong kosong penuh lompong!!

Lihat…
Selami dan dalami maknanya,
“jaga diri”
Bukan hanya ku mahu kau menjaga fizikalmu,
Tapi bermakna, keseluruhannya!!
Peribadimu, akhlakmu, lakumu…
Segalanya…

Aku berpesan bukan sekadar omong kosong…
Aku berpesan kerana Allah duhai sahabatku,
Kerana aku terlalu menyayangimu,
Lebih-lebih lagi kerana kau wanita…
Maka menjadi tanggungjawabku untuk menegurmu,
Sebagai seorang hamba,
Juga sebagai saudara..

Sahabatku,
Jangan kau lupa pada Penciptamu…
Jangan kau lupa pada penjaga-penjagamu…
Mungkin kau terlalai,
Pulanglah..
Jangan kau percaya omongan lelaki-lelaki buaya,
Jangan kau terpedaya…
Manis mereka hanya pada kata,
Menanam tebu hanya di bibir,
Habis madu sepah dibuang,
Tapi aku kecewa,
Kerana kau tak pernah belajar darinya..


Sahabatku,
Aku kecewa melihat bunga-bunga yang semakin layu…
Pulanglah ke fitrah asalmu,
Jagalah malumu,
Agar terpelihara aibmu..

~Aku yang menyayangimu~
Tinta Jiwa

Sunday, May 22, 2011

Kita + Kesakitan = SAUDARA

Kita dan kesakitan
Memang saudara dalam kehidupan
Mengingatkan kita kepada Tuhan
Pencipta makhluk sekalian alam
Begitulah juga saat kesedihan
Barulah mula terasa dalam kerendahan
Barulah tahu bahawa diri dalam kekerdilan
Semoga bila rasa-rasa itu datang
Dalam hati kita cuma ada Tuhan
Allah yang penuh keagungan
Semoga kita sedar kita dalam ujian
Kerana itulah tujuan kita diciptakan
Untuk diuji tahap keimanan

Kesakitan adalah lumrah dalam kehidupan
Nikmat dan musibah silih berganti
Bersabarlah menghadapi dugaan
Teruskan melangkah
Jangan menegeluh putus asa
Setiap dugaan punya hikmah tersendiri
Pasti kau temui setelah apa yang terjadi
Semoga kesakitan yang singgah ini memberikan lebih kekuatan
Dengan izin Allah yang Maha Menganugerahkan

~Tinta Jiwa~

:: Rindu Yang Bertamu ::

Rindu kembali menyapa
Buat dia yang bersama Dia
Semoga tenang di sana
Selalu merindui dan mengingati dia
Anugerah Tuhan penuh nilainya
Kasihnya mahal penuh berharga
Tiada bandingnya
Takkan pernah dilupa
Kenangan yang terlakar bersama
Semoga dekat dengan-Nya
Dicucuri Rahmat serta Redha-Nya
Dengan berlapang dada
Kan ku ungkapkan seikhlasnya
‘merinduinya…..’
Tulus ku kudus padanya
Kan sentiasa ku layangkan doa
Buat dia yang selalu di jiwa
Kan ku bawa dia bersama
Hingga hujung nyawa
Menuju Dia Yang Kuasa
Kasih yang tersimpul di dunia
Membawa kita ke Syurga selamanya
Moga di sana kita bertemu jua
Di Al-Jannah kita bersua
Mudah-mudahan begitu dengan izin-Nya

~Tinta Jiwa

Wednesday, May 18, 2011

JANJIKU

Janjiku
Akan aku laksanakan
Demi Allah Yang Menciptakanku
Akan ku lakukan
Buat ibu yang melahirkanku
Sentiasa berkorban
Menahan perasaan kernaku
Buat ayah yang membesarkan
Memerah keringat tanpa jemu
Buat guru
Keluarga dan sahabat-sahabatku
Yang sentiasa bersamaku
Tak pernah meninggalkan saatku buntu

Janjiku
Takkan pernah padam di lubuk qalbu
Kerana harapan-harapanmu
Dengan izin-Mu
Aku masih di sini mendongak langit biru
Akan ku lakukan buatmu
Demi Tuhanku

Janjiku
Berikrar padamu
Dan pada-Mu

~Tinta jiwa

Wednesday, May 11, 2011

Warnai Jiwaku

Aku hidup untuk mencintai
Kerana Tuhan menciptakan aku untuk dicintai
Bila usaha dan kecekalan menyatu
Kau tegar datang tanpa rasa catu

Namun akhirnya kita sama-sama menangis
Hanya kerana hati yang terguris
Lalu ku palukan diri ini sekuatnya
Meniarap sampai ke hujung lelahku
Segalanya kerana kamu
Kerana ku kira takdir kita bakal menyatu
Tapi semuanya tak menjadi
Jadi cukuplah sampai di sini

Bila mentari bersinar seadanya
Kupu-kupu di taman berterbangan rendah
Ditemani alunan muzik lemah
Tapi aku kian tabah
Bila ku rasa semua ini menjelikkan
Aku putuskan untuk sendirian
Di dalam dada ini
Terus mengorak langkah
Dan melangkah tanpa ada lelah

Nukilanku semuanya duka
Kerana tiada suka yang dapat ku gambarkan
Kerana tidak mudah untuk ku harungi semua ini
Bukan pandangan sinis
Tapi mungkin kerana sudah tertulis

Telah habis kata untuk ku gambarkan
Rahsia rasa di hati ini
Maka aku mohon, Tuhan
Warnai hidup ku
Pelangikan jiwaku
Untukku terus melangkah dan hidup

Saturday, May 7, 2011

Salam alaik…

Sudah lama aku meninggalkan tapak ini. waktu benar-benar mengekangku. Entry-entry yang sempat aku masukkan pula tidaklah banyak dan panjang. Sepertimana insan-insan lain, begitu juga dengan aku. Kerana aku juga seperti mereka, seorang hamba yang bergelar manusia.

Jika di awal penulisan blog ini, aku menghabiskan waktu siangku dari awal pagi hinggalah ke maghrib. Mendengar seruan azan di tengah-tengah kesibukan jalan. Terkadang aku belayar dalam lautan khayalan, yang sememangnya bisa mengancam nyawaku saat aku leka dibuai angan-angan...

Perjalananku sepanjang 2009 banyak mengajarku... Dan aku benar-benar mempelajarinya sekalipun dari kealpaanku sendiri.. Aku tahu, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya kerana setiap yang menimpaku itu adalah dengan izin Allah SWT jua.

Dan kini, aku terkekang lagi dengan masa dan keadaan… aku tidak lagi seperti dulu. Hidupku berubah 90o!!

Sudah berbulan-bulan lamanya aku tidak singgah di sini. Ah!! Aku teramat merindui tapak mayaku ini.. Tempat aku meluah rasa. Tempat aku melempiaskan rasa jiwaku..

Kali ini… Tahun ini… Aku terus belajar..
Dan akan terus belajar..
InsyaAllah..

Belajar hakikat sebuah kehidupan.. Mencari makna dan erti yang sebenarnya… Ku hirup setitis ilmu Ilahi yang selautan itu. Moga-moga, dapat ku lempiaskan kebaikan-kebaikan yang ada di dalamnya. Dan, moga-moga kelemahan-kelemahan diriku ini, Allah perbaiki.. Kerana aku, seorang hamba bergelar manusia.. Dan manusia itu pastinya lemah… Sering lupa… dan terkadang alpa dengan indahnya dunia ciptaan Yang Esa..

Ingin aku meneruskan langkah di titian perjalanan ini, sekalipun kerap kali terasa getirnya menongkah arus kehidupan demi sebuah perjuangan...

Benarlah janji Tuhan. Nikmat kemanisan iman itu ada pada keperitan yang dilalui dengan keikhlasan...

Ya, itulah kunci kebahagiaan...
Keikhlasan tanpa mengharapkan pembalasan..

Semoga Allah mengampuni dan meredhaiku, juga kamu...

Cinta Seputih Susu

Sebagai anak yatim piatu yang menumpang berlabuh dibumi ini, aku terkadang menjadi manusia perasa. Meski pun aku menerima qada’ dan qadar Allah kerana beriman kepadaNya namun aku tidak dapat menyembunyikan fitrah sebagai seorang manusia yang kehilangan kasih sayang! Malah ‘CINTA” telah menjadi tema dalam kehidupan ku.

Apa pun yang aku lakukan pastinya akan ku selitkan bait bait cinta supaya perasaan ini terubat dan dapat menghilangkan kerinduan serta kehausan sebuah cinta yang tidak dapat aku hirup sepuasnya dari insan yang bernama manusia!

Mungkin ada mereka mereka disana, mengatakan bahawa aku seorang yang jiwa jiwa.

Menjaja cinta yang tidak bermakna. Apa lagi dalam rentak tulisanku disini yang penuh dengan rasa dan jiwa.

Tapi itulah realitinya! Manusia tidak akan dapat menghargai sesuatu yang masih ada padanya kecuali sesuatu itu hilang dari dalam hidup nya.

Dan aku kehilangannya! Kehilangan sebuah cinta! Sehingga aku menjadi ‘baton’ ditukar tukar dari satu keluarga kesatu keluarga yang lain untuk mencari cinta!

Dan pastinya sehingga sekarang aku tidak menemui cinta itu! Biarpun keringat ku tidak pernah kering untuk mengejarnya!

Apalagi cinta seorang Ibu. Yang telah hilang selama lamanya dari hidupku!

Dan begitulah baby ini kehilangan cintanya!

Apakah dia juga akan menjadi seperti aku? Yang menjadi ‘baton’ yang sering bertukar tangan untuk meraih cinta?

Dengarlah cerita ini dan nilailah betapa besar erti cinta bagi seorng manusia …

Begini ceritanya yang telah diceritakan oleh sahabatku untuk ku muatkan didalam blog ini. Aku cuba untuk menuliskannya mengikut cara dan stail aku agar kita dapat merasai getaranya.

Aku tidak tahu dimana ia dapati cerita ini tapi pastinya bukan rekaan. Cerita tentang pengalaman seorang anggota penyelamat yang sering berhadapan dengan keadaan gawat lewat kemalangan ngeri dan bunyi geruh nafas akhir melihat wajah-wajah kematian.

Sebuah kemalangan dahsyat telah berlaku yang melibatkan sebuah kereta, sepasang suami isteri dan seorang bayi. Kereta itu remuk sepenuhnya.

Di tempat duduk pemandu, si suami telah terkulai. Badannya telah terlungkup pada stering dan beliau mati serta merta dengan kecederaan teruk pada tubuh dan kepalanya.

Manakala disisinya seorang isteri sedang bergelut dengan sakaratulmaut.

Tubuhnya tersepit diantara tempat duduk dengan keluli pejal remukan seperti ragum maut yang merangkul rapat tubuh kerdilnya.

Alangkah sukarnya akhi saat itu!

Kelihatan pada jernih pipinya tertusuk-tusuk kaca cermin hadapan yang pecah, sedang kulit dahinya terkoyak sehingga menampakkan putih tulang tengkoraknya kesan tujahan keras dan hantukan kuat semasa titik hentaman berlaku.

Bahunya seakan patah kerana telah terkulai. Tulang bahu itu tercungkil keluar mengoyakkan daging dan kulit bahunya disamping tangan sebelahnya terkulai layu tak bermaya!

Kelihatan darah merah mengalir keluar dari tubuh lemah itu yang kesakitannya sudah pasti tidak dapat diucapkan dengan bait bait kata.

Lantas dalam longlai lemah itu dia masih mampu mengisyaratkan dengan anggukan kepalanya memohon kepada penyelamat itu agar diberikan kepangkuannya anaknya yang terselamat itu!

Biar pun dalam tangisan, baby yang masih segar dan terselamat itu diberikan pada sang Ibu lalu dalam keadaan tertahan tahan nafasnya beserta lelehan air mata yang bergaul dgn darah itu terdengar suara rintihan tangisan pilu penuh kesayuan sang Ibu, sambil mendakap anaknya seakan tidak mahu berpisah dengan belahan hatinya .

Dalam jerih kepayahan dan kesakitan yang teramat, dari riak wajah lusuh itu, kelihatan sang ibu menyingkap bajunya lantas menyusukan anaknya dalam ayunan ombak nafasnya yang berbaki sambil memeluk sicomel, merangkul erat dengan penuh kepayahan lalu menyuapkan aliran air susunya dan disambut mulut comel yang rakus itu untuk menyusu!

Dalam nafas sukar dan dada yang berombak-ombak serta nafasnya yang tersekat-sekat melawan sakaratul maut akhirnya sang Ibu menemukan rabbnya dalam keadaan air mata yang mengalir dan meninggalkan sicomel yang tidak mengerti apa apa dan masih mampu tersenyum dengan mata yang bulat dan bercahaya persis “twinkle little star” kerana telah menikmati santapan terakhirnya. Begitulah akhirnya sebuah cinta bagi seorang Ibu dan bermulanya kehidupan yatim seorang manusia!

Aduhai akhi. Berlinang airmata ini membacanya!

Tidakkah itu cinta? Tidakkah cinta itu satu kekuatan? Kekuatan yang dapat menahan gejolak sakarat demi menyempurnakan sebuah ‘masuliyah’ yang diamanahkan oleh Rabbnya?

Begitulah cinta Ibu.

Cinta seputih susu. Cinta seputih susu akh. Susu jernih yang memberi mu nafas hidup ini! Tidakkah kamu teringat cinta Ibu mu terhadap mu. Biarpun kamu sulam cintanya dengan kedegilanmu. Dengan tengking herdikmu. Dengan kekasaran dan egomu!

Namun cinta itu tidak pernah berubah. Malah tetap terpatri sekuatnya sehingga hembusan terakhir nafasnya!

Itulah Cinta yang dinaungi syurga dan awan firdaus.

Apakah ini kisah ajaib? Apakah ianya sebuah drama? Tidak sekali kali. Tapi ini adalah sebuah kurnia. Kurnia dari Allah yang maha pencinta. Manusia tidak mampu untuk mencipta cinta. Apa lagi sebuah kasih sayang dalam deru nafas seorang manusia!

Sekali lagi kisah trajis ini datang dalam hidup kita.

Memang menyayat rasa.

Dalam nafas kita yang masih mampu kita tarik dan hembus ini. Tidakkah kita terfikir tentang harga cinta seorang ibu.? Boleh tak kita rasa deru cintanya yang hebat itu kepada kita?

Ya Allah. Berilah kami rasa itu. Rasa yang mahahebat itu.

Begitulah seorang ibu yang Allah pinjamkan buat kita. Pinjamkan kasih nya buat kita melalui ‘rahim’ mereka yang kaya dengan kasih sayang itu.

Selama ini dalam belaian merekalah kita bernafas.

Dalam kasih merekalah kita bernadi dan dalam pengorbanan merekalah kita ada pada hari ini.

Hukum alam mewartakan!

Pada detik kita berada di puncak putaran hidup, mereka pula meratah usia yang semakin senja.

Mereka tidak lagi bernafsu untuk makan atau hiburan lain sepertimana kita.

Kegembiraan begitu tercatu buat mereka pada usia begini.

Justeru mereka tetap punya memori indah dengan kita.

Mungkin tika ini mereka tersenyum sendirian mengingati nostalgia lama mereka dengan kita, sewaktu mengomol kita sewaktu kecil sehingga dengan nostalgia itu membuat mereka tidak merasa kesunyian.

Tahukah kita akhi, dan pastinya dahulu …

Ketika kita demam mereka tidak tidur sepanjang malam berjaga.

Ketika ketakutan mereka memeluk erat menenangkan kita sehingga kita boleh melelapkan mata.

Ketika dalam proses membesar, kita meminta itu dan ini.

Kita mungkin mendapat semua yang kita minta atau sebahagiannya, tetapi kita tidak pernah tahu cerita di sebalik semua itu ….

…mungkin ada duka yang tak diceritakan!

Akh, kamu tentu tahu bahawa dulu aku pernah membimbing halaqah kaum Ibu …

Aku pernah ada memori bersama mereka yang banyak melembutkan jiwa ku dan mengerti jiwa jiwa mereka.

Aku pernah didatangi oleh seorang Ibu ini untuk meminjam wang ku demi untuk membayar yuran persekolahan Tahunan anak nya yang hampir RM 2000. Pada mulanya memang aku katakan aku tiada kerana memang aku tiada wang sebanyak itu saat itu tapi akhirnya aku terpaksa usahakan demni melihat kasihnya pada anaknya dan ini membayangkan aku pada Ibu ku yang telah tiada …

” Naqib …akak nak pinjam duit sikit kerana akak betul betul terdesak ni?” Begitu dia memulakan bicara pada ku dalam satu pertemuan halaqah kami.

” Anta pun tahukan akak dan bercerai dengan suami dan akak nak pinjam ni pun sebab nak bayar duit sekolah Amar, anak akak yang tua tu.” Dia bersuara malu sambil menunduk pandangannya pada aku.

” Banyak tu saya tak ada kak? Tapi kalau RM 500 tu adalah!” Jawab aku.

” Sebenarnya naqib, akak nak tukar sekolah anak akak ni ke sekolah islam Al’Hira’ di klang tu. Dulu waktu ada suami, dia tak bagi sebab katanya semua sekolah ada pelajaran agama dan dia kata dia tak mampu sedangkan akak benar benar bercita cita nak anak akak jadi pendakwah kerana inilah satu satunya harta akak diakhirat nanti.” Dia menyambung dalam suaranya sedikit parau menahan sebak.

Waktu itu aku tidak dapat menahan tangis aku. Bukan dia yang menanggis, tapi aku yang menanggis dahulu. Bagai banjir menderas yang memindah gunung jiwaku. Aku diamuk gelombang keharuan dilaut lepas. Aku alihkan wajah aku sambil mengambil serbanku untuk mengelap air mata aku. Memang aku tak boleh bersuara. Jiwa aku rasa melayang bagai rumput kering ditiup angin tanpa haluan!

” Maafkan akak naqib. Menyusahkan saja. Akak tak tahu mana nak mengadu lagi kecuali pada antalah!” Dia menyambung tanpa mengangkat kepala.

Selepas menenangkan perasaan, aku bersuara, ” Tak apalah kak. Akak bagi nombor akaun. Nanti saya masukkan lepas halaqah ni. Akak tak perlu rush nak bayar. Ini duit sahabat2 kita. Mereka wajib tolong akak.

Sambil mengangkat kepala dia berkata ” Anta jangan bagi tahu orang lain. Malu pulak akak.”

” Tak lah. Takkanlah saya nak bagi tau orang lain. Akak jangan susah hati.” Aku menenangkannya.

” Jazakallah naqib. Akak tak tahu camaner nak kata. Cuma yang boleh akak katakan bahwa niat akak nak hantar anak akak itu pun sebab akak nak dia jadi macam anta. Anta inspirasi kami naqib.Walau pun anta bukan ustadz tapi akak dapat rasa ada sesuatu dalam jiwa anta yang kami semua dapat rasakan.” Dia berlalu sambil mengesat airmatanya.

Aku istighfar banyak banyak sambil berdoa didalam hati agar apa yang ku berikan pada mereka itu Allah jadikan sebahagian dari penebus dosaku yang banyak ini!

Itulah antara pengorbanan seorang ibu tetapi malangnya memori yang pernah berlaku dalam hidup mereka suatu tika dulu bersama kita hanyalah di pihak mereka saja sedangkan kita tidak mengingatinya lagi kerana teramat sibuk dengan urusan keluarga kita sendiri, suami dan anak anak serta pekerjaan dunia yang tidak pernah ada ujungnya ini!

Di persimpangan kehidupan yang tidka kita kendalikan dengansistem islam dan mahabbah inilah yang sering menjadikan mereka terabai!

Mereka melalui hari-hari bagai archa yang membisu. Bagi tugu yang membatu. Mereka menjadi penanti dan perindu yang mengelus rindu!

Malam malam sepi mereka terbiar merenung kelam tanpa sinar belaian cahaya mata dan mereka berada di penjuru dunia yang terasing membilang saki baki hari dengan butir tasbih sunyi sebelum berangkat pergi ke daerah barzakh di alam lain buat selama-lamanya.

Kita bagi sitenggang atau malin kundang yang hidup kemeriahan dengan derai tawa anak anak dan suami tercinta atau rakan-rakan dalam limbah kesenangan yang gemerlapan yang menerakakan!

Ingatkan kamu kepada mereka tika ini wahai duat? Yang menyeru manusia kepada kebenaran tapi disatu sisi kamu lakukan pengabaian pada Ibumu?

Ingatkah kamu kepada mereka wahai suami dan isteri yang telah tengelam dalam pelukan nafsu pasanganmu hingga terlupa pelukan ‘ sebuah kehidupan’ dari ibumu?

Ingatkah kamu wahai pelajar pelajar dan adik adiku kepada mereka yang telah menadahkan tangan hingga tidak mahu turun mendoakan kamu tapi kamu tidak sedikit pun terasa akan ‘cinta’ itu kerana tenggelam dibawah timbunan buku dan rangkulan kesibukan yang mengilakan kamu?

Wahai anak anak yang hampir derhaka …

bilakah kali terakhir kita menghubungi mereka?

Bilakah kali terakhir kamu mendoakan?

Bilakah kali terakhir kamu mengucapkan sayang kepada mereka?

Bilakah kali terakhir bertanyakan kesihatan mereka?

Bilakah kali terakhir kamu berjenaka dan mengembirakanmereka

Bilakah kali terakhir kamu bersama mereka bercerita dan dia menjadi peminat setia dan menjadi konsultan kita?

Bilakah kali terakhir kamu cium mereka bersalaman untuk pulang?

Bilakah kali terkhir kamu memeluk erat tubuh mereka dengan getaran kebersamaan memahat cinta?

….dan bilakah kali terakhir kamu memeluk mereka dan mereka memeluk kamu dan tak mahu melepaskan seolah olah tidak membenarkan kamu pergi dari mereka?

Carilah jawapan itu dalam lautan rasamu.

Jangan paksa hati mu menyayangi mereka kerana jika itu berlaku, kamu adalah anak derhaka!

Ingat akhi …

Kita mencari redha mereka! Kerana ridha illahi bersembunyi dibalik redha mereka.

Jangan biarkan mereka berduka kerana mereka adalah seorang Ibu.

Seorang Ibu bukan sembarangan Ibu kerana Ibu adalah diantara jambatan jambatan yang perlu kita lintasi menuju syurgaNya …

Mari kita memburu rindu. Pada dia yang pernah kehilangan rindu kita!

” SELAMAT HARI IBU BUAT SEMUA IBU IBU DARI KU SIYATIM PIATU”

muharrikdaie – menulis untuk mengerakkan jiwa jiwa

http://muharrikdaie.wordpress.com

~ Merenung.. Menerobos hari-hari bersama ibu.. Alhamdulillah, aku masih punya ibu..
Allah masih izinkan aku untuk bersama ibuku.. Semoga kasih yang terjalin membawa ke Syurga..

Terima kasih ibu kerana telah menjaga dan mendidikku untuk menjadi seorang manusia...

Mendidikku menjadi seorang hamba..

SELAMAT HARI IBU, BUAT IBU TERCINTA.