Saturday, July 30, 2011

PUASA: Bukan Sekadar Menahan Lapar & Dahaga

Firman Allah S.W.T :
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang batil)
Al-Baqarah : 185

Dalam pada itu, Allah S.W.T juga telah berfirman dalam ayat sebelumnya yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa.”
Al-Baqarah: 183

Dalam ayat tersebut,jelas menunjukkan bahawa puasa di bulan Ramadhan merupakan satu amalan wajib yang perlu dilaksanakan oleh setiap umat Islam. Hal ini turut terbukti apabila PUASA ditetapkan sebagai salah satu Rukun Islam,iaitu rukun yang ketiga. Sekiranya diteliti secara mendalam, perintah terhadap amalan berpuasa mempunyai 2 fungsi, iaitu:

1. Puasa sebagai satu ujian
2. Puasa sebagai satu rahmat

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah,nescaya Allah akan jauhkan mukanya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (muttafaq alaih)


Berpuasa, maknanya menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Namun begitu, sepertimana yang kita telah maklum, berpuasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi juga menahan diri daripada perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Jika kita halusi dan dalami maknanya, 'PUASA' mengandungi sejuta makna beserta hikmahnya. Dalam erti kata lain, ketika berpuasa, umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Hal ini demikian kerana puasa merupakan medan latihan untuk memupuk sikap sabar, jujur serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara tidak langsung amalan puasa akan mewujudkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik yang dilakukan sepanjang bulan ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Sekarang, jom kita semak perkara-perkara tidak boleh dilakukan semasa berpuasa, perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, perkara-perkara yang disunatkan dan fadhilatnya di bulan Ramadhan.

Antara perkara yang boleh membatalkan puasa:

1. Makan dan minum dengan sengaja (walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi)

2. Muntah dengan sengaja

3. Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja

4. Keluar darah haid atau nifas

5. Gila (hilang akal)

6. Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.

7. Murtad (keluar dari Islam)

8. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya. Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara ke dalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga (dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).

Perkara-perkara yang sunat dilakukan :

1. Makan sahur serta melambatkannya

2. Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air

3. Menjamu orang-orang berbuka puasa

4. Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan.

Sekiranya diteliti secara mendalam, perintah terhadap amalan berpuasa mempunyai 2 fungsi, iaitu:

1. Puasa sebagai satu ujian
2. Puasa sebagai satu rahmat


Fadhilat Berpuasa di bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya’ban bagi menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.
-Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.
– Diriwayat oleh imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud :
Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.
– Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).
-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.
-Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi

Penerangan Hadis

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.


- Ingat, Orang Islam, berakal (tidak sah jika gila atau kanak2 belum mumayyiz), suci daripada haid dan nifas, dan berpuasa dalam waktu yang dibolehkan berpuasa (bukan dalam tempoh haram puasa) adalah syarat sah puasa itu diterima di dalam Islam.

Okeylah, sampai di sini saja peringatan untuk kali ini.
Sebelum berpuasa tu, jangan lupa rukun puasa:

1. Berniat pada malam harinya
2. Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.

Selamat menyambut ramadhan al Mubarak =)

Sumber:

http://mohdapih.com/blog
http://ms.wikipedia.org
Risalah Puasa dan Ramadhan

Salam Ramadhan,
Tinta Jiwa

Tuesday, July 26, 2011

Tarbiah Buatku

Tuhan,

Di sejadah-Mu aku berteleku

Dan Engkau jualah saksi lakuku

Usai solatku

Aku menadah tanganku

Bermunajat

Memohon rahmat-Mu

Tafsir itu kucapai

Ku alunkan 30 ayat Al-Mulk

Tafsir itu ku tutup

Mataku kupejam rapat

Memohon tarbiah dari-Mu

Agar aku bisa terus kuat

Spontan!!

Tafsir itu ku buka lagi

Seperti selalu

Beberapa ayat pertama itulah tarbiah buatku

Dan….

“Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri ; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan."

(Yunus : ayat 12)

“Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat keterangan Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya. Katakanlah (wahai Muhammad) : “Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!” sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.”

(Yunus : ayat 21)

Terus,

Air mata yang bertakung di tubir mata

Laju menerobosi pipi

Luruh bagai manik-manik kecil

Tapi tiada harga pada sesiapa

Kerna hanya aku yang menelan getirnya

Perlahan tafsir itu kutup

Dengan penuh rasa syukur

Ku tinggikan separas wajah

Ku kucup

Lalu ku peluk erat dalam pejam

Menghayati tiap-tiap bait

Aku ditarbiahkan….


~Ya Allah, lindungi aku dari kejahatan-kejahatan rancangan mereka~

Tinta Jiwa

Monday, July 25, 2011

Aku mengenangmu di kejauhan,
Melayan rindu yang bertimbun,
Semakin menggunung,
Sarat sungguh sayangku padamu, kanda,
Pulanglah dikau agar dapatku tempiaskan kasihku,
Kau pergi terlalu lama,
Membuat kami di sini derita menanggung rindu,

Kandaku,
selalu ku terkenangkanmu,
Darimu Allah turunkan rezeki buatku..

Kandaku,
Cukuplah dengan segala jasa,
Membuatku segan terhadap kebaikanmu.

Kandaku,
Aku malu andai sia-sia segalanya,
Aku malu andai sekali lagi aku diuji,
Aku malu andai kali ini bukan untukku jua,
Aku malu andai aku berputus asa,
Kecewa penuh luka
Sedang waktu itu bukanlah saat-saat kemuncak ujianku,
Aku khuatir andai aku gagal sebelum menggenggam jaya,
Aku tak ingin bergegar walau digegar,
Tapi hakikatnya aku juga manusia berdosa,
Maka,
Padukan aku dengan semangat
Bersama kata azimatmu,
Kerana kau antara kekuatanku.

~Tinta Jiwa~
25/07/2001

kandaku

Assalamualaikum.

Kali ini menulis untuk dia.
Istimewa untuk dia.
Dia, kakandaku...

Kandaku,
Kutahu kau durja dengan segala berita,
Terlalu banyak khabar kematian yang telah kami sampaikan,
Dan pastinya terlalu berat untuk kau terima kala berjauhan.

Kandaku, kita perlu pulang ada fitrah kehidupan,
Telah Allah firmankan dalam al-quran,
Tiap yang hidup pasti merasai mati,
Maka sama ada diriku atau dirimu,
Pasti merasai saat roh terkeluar dari badan,
Diambil malaikat untuk dipulangkan kepada Yang Maha Menciptakan.

Segalanya adalah pinjaman,
Dan telah pun kita halusi setiap ketentuan...

Kita manusia,
Hamba berusaha,
Hamba berjuang,
Takkan menoleh mengalah pada perasaan,
Yang sering alpa diulit keduniaan.

Kita hamba-Nya,
Pejuang terbilang yang sentiasa mengukuhkan hati,
Untuk tetap istiqamah di jalan-Nya,
Sekalipun dipalu pilu penuh sendu.

Kandaku,
Di sana kau merindu,
Di sini kami menunggu,
Mohon masa cepat berlalu,
Hanya untuk kepulanganmu,
Kerana kau dirindu.

*Istimewa buat kandaku di negeri bawah bayu

~Tinta Jiwa~
25/07/2011

Saturday, July 23, 2011

Mutiara Hikmah

- Dalam mengejar kebahagiaan, kita mesti gagal sekurang-kurangnya sekali dalam hidup. Dengan kegagalan itu, kita akan dapat mengetahui di mana letaknya kelemahan diri.



- Gagal sekali tidak mengapa, jangan jatuh berkali-kali di tempat yang serupa. Jangan pernah mengalah pada kegagalan. Sentiasalah berjuang kea rah kejayaan.



- Berusahalah terus untuk mencapai bahagia kerana berjalan itu asal mulanya dari selangkah, pohon beringin yang besar itu asalnya dari satu biji kecil dan burung yang besar terbang di udara itu asalnya dari sebiji telur.



- Dari kesusahan itu akan diperolehi kesenangan dan kebahagiaan. Durian berduri kerana sedap isinya, kulit manggis pula pahit sebab manis di dalamnya dan bunga ros berduri kerana harum baunya.



- Untuk mendapat bahagia, bongkarlah kekotoran jiwa dari dada supaya iman masuk ke dalamnya, kerana reban ayam yang ada musang tidak akan dimasuki ayam.



(Hukamak)



- Berbahagialah orang yang dapat menjadi tuan untuk dirinya dan menjadi nakhoda untuk bahtera hidupnya.


(Cendekiawan)

Mari kita pejamkan mata sebentar…

Sahabat,

Mari kita pejamkan mata sebentar…

Tenangkan diri…

Ikhlaskan hati…

Mari merenung diri…

Menerobos waktu-waktu yang telah berlalu…

Hari berganti hari,

Siang berganti malam,

Usia semakin meningkat,

Tapi mujahadah diri masih melemah…

Mari sahabat kita bentengkan hati dengan ketaqwaan,

Biar kebal keimanan…

Agar bila mati yang pasti bertandang,

Kita bisa menyambut dalam senyuman…

Bersediakah kita menghadap pencipta?

~Yang menyayangi

Tinta JIwa

Tuesday, July 12, 2011

Hidup ini tidak selalu seperti yang diduga,
Kita merancang,
Tapi rancangan Allah lebih hebat,
Dialah yang Maha Menentukan.

Sungguh,
Terkadang aku juga melemah,
Sukarnya untuk istiqamah,
Bantulah aku ya Allah dalam meneruskan titian perjuangan ini...

-Tinta Jiwa-

Terima kasih, cikgu

Assalamualaikum...

Alhamdulliah, Allah terus memberikanku peluang untuk singgah di sini di samping mengintai coretan teman-teman.

Entry ini istimewa buat guruku.

Terima kasih, cikgu...

Cikgu berusaha mendidik kami,
Ilmu cikgu curahkan tanpa henti,
Walau berjuta alasan kami beri,
Cikgu tetap sabar di hati.

Anak didik perlu dididik,
Itu yang membuat cikgu tetap tegar...

Duhai guru yang kusanjung,
Sayangku padamu terus menggunung....

Teruskan perjuangan, guruku tersayang.

Anak didikmu:
Tinta Jiwa

Sunday, July 10, 2011

-Istimewa untuk sahabat-

Istimewa untuk dia sahabatku....

Sahabat,
Maafkan aku kerana terlalu membawa diri
Dan sibuk dengan urusan sendiri
Sehingga mengabaikan pertalian ini...

Khabarmu jarang sekali kutanyakan
Menghantar berita jauh sekali untuk ku lakukan...

Ah....
Kekangan hidup selalu menguji
Membuat kita semakin jauh
Hingga terjarak hati yang kita padukan...

Hakikatnya,
Salah aku sendiri
Atas segala apa yang terjadi
Lalu aku jadikan segala alasan sebagai penyebabnya
Halangan duniawi ku katakan puncanya...

Sedangkan,
Harus ku akui
Semua itu takkan menggoncang hubungan yang terbina...

Maafkan aku...

Mungkin kau kira
Aku sedang bahagia bersama teman-teman seperjuangan...
Ya, aku bahagia,
Aku bahagia...
Namun, jangan pernah kau kira
Bahagia-bahagia itu akan memakan tali silaturrahim kita...
Tak akan...
Tak akan...
Dan tak akan pernah, melainkan dengan izin-Nya jua...

Andai itu yang tersurat,
Apalah daya aku sebagai hamba yang lemah lagi hina dina ini....
Aku pastinya tiada daya untuk melawan takdir Tuhan Yang Maha Hebat lagi Agung...
Lalu aku menerima suratan itu dengan redha yang penuh luka...

Sungguh, sungguh!!
Aku menyayangimu kerana Allah,
Bukan hanya kerana kau sejalan denganku,
Tapi kerana kau anugerah-Nya buatku...

Tulus aku menyayangimu
Tak ingin ku biarkan kau terkontang kanting
Mencari kekuatan sendiri
Sedang pada kelemahan dan kesedihanku
Kau sentiasa ada disisi menemani...

Tulus aku menyayangimu kerana Allah
-Berbahagialah sahabatku-

-Tinta Jiwa-

Tuesday, July 5, 2011

Seminar

Assalamualaikum..

Segala puji-pujian yang layak bagi penguasa seluruh alam, Pencipta Yang Maha Hebat. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat serta keluarga baginda.

Semoga pengisian hari ini akan memaknakan kehidupan kita di dunia untuk menuju hidup abadi.

Entry ini khusus mengenai Program Seminar yang telah diadakan beberapa hari yang lalu, 29 Jun 2011 bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang.

Apa yang kami dapat sepanjang program tu?

Banyak!

Dan sedikit sebanyak daripada tu aku nak kongsikan ngan korang kat sini. Maknanya, apa yang bakal aku catat kat sini bukanlah keseluruhan penyampaian motivators tersebut, tetapi sebahagian daripadanya sahaja. Kedekut ilmu ke? BUKAN... BUKAN! Bukan macam gitu, tapi kalau aku ceritakan balik kat korang experience penceramah tu, takut lain pulak cerita yang aku sampaikan. So, rasanya lebih baik aku ceritakan apa yang sepatutnya aku cerita and sampaikan je, sebab itu adalah lebih baik berbanding aku tak berkongsi apa-apa kat sini atau aku memesongkan fakta-fakta yang telah disampaikan kepada aku tempoh hari =)

Satu lagi, aku tak nak menulis panjang-panjang, so aku akan masukkan teks-teks yang telah aku edit supaya kelihatan menarik (walaupun sedikit menyakitkan mata sebab aku tak pandai sangat pun bab-bab editing ni. Hikhik...)


First of all, jom kenali penceramah untuk 3 slot tu.

Penceramah untuk slot pertama dan kedua ialah Raja Shamri bin Raja Hussin, manakala penceramah untuk slot ketiga pula ialah En. Sepie bin Yaacob.

Ok, kita berkenalan dengan penceramah slot pertama dan slot kedua dulu.

Siapa Raja Shamri bin Raja Hussin?

Alah, Abang Raja yang hensome tu... :D

Ni 2nd time aku jumpa ngan beliau. First time jumpa 7 tahun yang lalu masa program motivasi kat sekolah menengah. Mula-mula terkejut juga tengok nama dia kat skrin tu. Macam kenal je. Atas bawah, atas bawah aku perhati tengok empunya badan. Sah!! Dialah mamat tu!



Masa program kat sekolah dulu aku dapat tempat belakang, so tak dapat la tengok abang raja ngan jelas. Tu yang tak berapa cam tu! Semalam dapat tengok beliau dari jarak lebih kurang 3 meter je. pergh!!



Jom kenali background beliau yang sempat aku catat and ingat ni.




Raja Shamri bin Raja Husin

AAD (Arizonal), BBA (UiTM), eMBA (UiTM), CIM (UK), CCP (Australia)



  • Dilahirkan pada tahun 1975

  • Mempunyai 7 orang adik-beradik (5 perempuan, 2 lelaki)

  • Berusia 36 tahun (tapi still muda belia lagi orangnya. ngeeee..)
  • Seorang yang tabah dan berjiwa kental
  • 10 tahun sebagai motivator
  • Golden Minds Consultant
  • Ceramah yang ke 1000 lebih (lupa angka tepat!)


Beliau mendapat pendidikan di:


  • SK. Kampung Raja, Pasir Puteh
  • SM. Sains Machang, Kelantan
  • SM. Gaal, Pasir Puteh, Kelantan
  • MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan
  • NOTHERN ARIZONA UNIVERSITI USA
  • UiTM Shah Alam
  • Universiti Kebangsaan Malaysia
  • UiTM Kelantan

Ok, untuk mulakan program ni, Abang Raja ada kenakan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi.

Rules no. 1:

Tidak boleh bercakap. Sesiapa yang boring atau mengantuk dipersilakan tidur.

Rules no. 2:

Bahasa yang bakal digunakan (biasalah, bahasa abang dengan adik... bahasa

slanga kut J)

Rules no. 3:

Jangan menyampuk!!

~ Ketiga-tiga syarat ni sepatutnya memang dah ada dalam diri setiap insan sekalipun Abang Raja tak bagitahu. Pokoknya kita mestilah menghormati setiap majlis, lebih-lebih lagi majlis ilmu.


Jom kita semak objektif program!


OBJEKTIF PROGRAM:

Mensyukuri Nikmat Tuhan

Mencipta Matlamat dan Membina Azam

Kenali Kelemahan dan Potensi Diri

Berkongsi Pengalaman

Persediaan awal Peperiksaan


BAGAIMANA KEJAYAAN DICIPTA?





Jom kita semak Prinsip Orang Berjaya pulak!

1. Bangun pagi

Firman Allah yang bermaksud:

“Tunaikanlah solat kerana sesungguhnya Akulah yang memberi kamu rezeki”


2. Personaliti



3. Kurangkan akan (makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang)


“Dhuha itu murah rezeki, tahajjud itu lidah yang tajam”

-Imam Shafei

4. Tidak suka mengadu domba




5. Tidak mudah sensitif dengan kata-kata orang



6. Tidak mudah sensitif dengan perkara remeh-temeh




Sekarang, tiba giliran penceramah slot ketiga pula iaitu En. Sepie bin Yaacob.

Jom kita semak strategi peningkatan kerjaya daripada En. Sepie bin Yaacob.


7 STRATEGI PENINGKATAN KERJAYA


1. Mempunyai wawasan


-Seribu langkah dengan langkah pertama.


Kita mestilah bersedia dengan menyediakan perancangan, kaji kejayaan dan kegagalan serta menetapkan matlamat.


2. Kepakaran “Hard Skill”


3. Kebolehan “Soft Skill”

-Kajian menunjukkan 70% kejayaan ialah ‘soft skill’ manakala 30% ialah ‘hard skill’

Soft Skill = Ilmu kemanusiaan (kebolehan berkomunikasi, berinteraksi dan memahami ‘body language’


4. Perwujudan jaringan (networking)


-Kebolehan dan kemampuan dalam kedua-dua bidang akan meningkat jika diamalkan berterusan.

Ini semua untuk menjadikan kita matang dan membantu meningkatkan kerjaya


5. Sokongan mentor

Mentor = Penasihat/sifu adalah individu yang dirujuk atas sesuatu hal seperti kewangan, pentadbiran, hal peribadi dan teknikal (mungkin terdiri daripada rakan karib)


6. Menggunakan teknologi


7. Teguh dan jati diri


Akhir kata:


~Semua mutiara yang diedit ‘dikutip’ daripada motivators sepanjang program berlangsung. Di samping tu, pelbagai cerita dan pengalaman telah diselitkan bersama kata-kata tersebut ( tapi tak disertakan di sini ;) )

Semoga tiap-tiap bait yang tercatat di sini memberi manfaat kepada kita untuk menjadikan kita seorang insan yang berusaha dan tak pernah berputus asa dengan dugaan hidup.

Sesungguhnya, Allah tidak sesekali akan membebani hamba-Nya. Setiap ujian yang diberikan adalah sesuai dengan kemampuan hamba-Nya. Ingatlah bahawasanya ada insan yang lebih getir ujiannya berbanding kita.


Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Allah tidak memberati hamba-Nya, melainkan sekadar tenaganya. Baginya (pahala) kebajikan yang diusahakannya dan di atasnya (dosa) kejahatan yang diperbuatnya...”

(Al-Baqarah : 286)


Marilah kita menjadi hamba yang bersyukur dengan segala nikmat kurniaan-Nya yang tak pernah putus.


Nikmat dalam iman...

Nikmat dalam islam...

Nikmat dalam keamanan...

Nikmat dalam ketenangan...

Nikmat dalam kebahagiaan...


“Sesiapa yang bersyukur, maka Aku akan tambahkan untuknya (nikmat), sesiapa yang kufur, ketahuilah bahawa azab-Ku adalah amat pedih.”

(Ibrahim : 7)


“Dan ada antara mereka yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan akhirat, dan lindungilah kami daripada azab neraka.’ Mereka itulah yang memperoleh bahagian daripada apa yang mereka kerjakan, dan Allah itu maha cepat perhitungan-Nya.”

(Al-Baqarah : 201-202)


Jangan pernah mengeluh berputus asa, teruskan melangkah kerana Dia sentiasa ada untuk hamba-hamba-Nya...


“Jika hamba-ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku, Sesungguhnya Aku adalah amat dekat, Aku menjawab permintaan yang diserukan kepada-Ku jika mereka menyeru, maka terimalah segala arahan-Ku, dan berimanlah kepada-Ku, agar mereka beroleh kemenangan.”

(Al-Baqarah :186)


“sesungguhnya Allah itu amat mencintai mereka yang sering bertaubat, dan mereka yang membersihkan diri”

(Al-Baqarah : 222)


tulus dariku;

Yang menyayangi kalian,

-Tinta Jiwa-