Sunday, October 31, 2010

Wahai Diri, SEDARLAH…

Duhai hati yang dulu pernah berjanji,
Ingatkah lagi launganmu pada Rabbi?
Setiap hari kau melirih tanpa sepi,
Tiada jemu…
Tapi mengapa kini kau seakan melupai
Janji-janji yang kau taburi?

Ingatlah wahai diri,
Bila Dia mengujimu tanpa henti,
Itu tandanya Dia menyayangimu,
Dia ingin mendengar suara lirihmu,
Merintih memohon kekuatan,
Tabahlah wahai hati...
Kerana Allah ingin memberi peluang kepadamu,
Dia menegurmu atas kekhilafan,
Dan kesongsangan langkamu,
Yang tersasar dari sejadah iman...

Jika kau merasa lelah dan tidak berdaya,
Dan segala tenaga seperti sia-sia,
Sedarlah,
Allah tahu betapa keras engkau berusaha,
Dan Dia sebenarnya mahu mengampunimu,
Tika kau menangis sekian lama,
Menitiskan air mata hanya kerana-Nya,
Dan hatimu masih terasa pedih,
Ketahuilah,
Allah SWT telah menghitung setiap titis
Air yang mengalir dari kelopak matamu,
Untuk memadam bintik-bintik gelap,
Noda-noda hitam,
Di sepanjang perjalanan hidupmu...

Jika hidupmu sedang menanti sesuatu yang bahagia,
Namun, waktu dirasakan berlalu begitu saja,
Tiada apa….
Dan kau hampa….
Sedarlah,
Allah ingin memberi pahala sabar kepadamu...

Wahai hamba yang terpilih
Di pentas kehidupan ini
Tatkala kau berasa sendirian
Sunyi tiada berteman
Dan hanya ditemani luka-luka ujian
Berbicaralah dengan Allah
Kerana Dia selalu berada di sampingmu
Dan tidak pernah bosan mendengar luahanmu

Wahai diri yang teruji,
Saat kau fikir bahawa
Kau telah mencuba segalanya
Dan tidak tahu hendak berbuat apa,
Bertanyalah dengan bersolat...
Sujudlah kepada-Nya Yang Maha Agung
Kerana Allah sentiasa ada jawapannya...

Ketika segala sesuatu menjadi tidak masuk akal
Dan dikau berasa tertekan,
Luahkannya kepada Allah di dalam doamu...
Dia pasti mendengar tiap bait yang kau sampaikan,
Berdoalah dengan penuh yakin
Kerana Allah tidak mendengar doa dari hati yang lalai...
Mohonlah dengan jelas permintaanmu,
Kerana Allah tidak memberati jika kau tidak bersungguh...

Ujian itu tarbiah dari-Nya...
Kerana Dia merinduimu...

Duhai hamba bernama manusia,
Setelah masa lama berlalu,
Tiba-tiba...
Kau dapat melihat jejak-jejak harapan,
Ketahuilah bahawa Allah SWT telah memberimu petunjuk
Ketika segala sesuatu sedang berjalan lancar
Dan dikau berasa kelegaan...
Tandanya Allah telah memberkatimu...
Tatkala sesuatu yang indah terjadi,
Dan hatimu dipenuhi ketakjuban,
Bermakna Allah SWT sedang merahmatimu...

Wahai diri...
Sesudah segala apa yang kau lalui,
Sedarlah,
Allah menegurmu,
Memberimu masa,
Untuk memperbaiki masa lalu,
Bagi menjernihkan jalan pulang...
Dia menyayangimu...
Merindui rintihanmu yang penuh rasa kehambaan...

Fahamilah...
Allah SWT ingin mengindahkan hidupmu,
Agar engkau berada di jalan mardhatillah...

Wahai hamba yang taat,
Di mana pun atau ke mana pun engkau,
Dan bagaimana pun keadaanmu,
ALLAH TAHU….
DAN SENTIASA TAHU….

Kerana Dia Maha Mengetahui yang nyata
Mahu pun yang tersembunyi...
Dan sedarlah,
Hanya Dia dapat menenangkanmu...

22/09/2010
3.00 pm
Wahai Diri,SEDARLAH...
Sajak: Ibu… Hanya Allah Yang Tahu
Semenanjung Utara
ANIS
Tinta Jiwa
~ Buat diri yang melemah

No comments: