Saturday, July 30, 2011

PUASA: Bukan Sekadar Menahan Lapar & Dahaga

Firman Allah S.W.T :
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang batil)
Al-Baqarah : 185

Dalam pada itu, Allah S.W.T juga telah berfirman dalam ayat sebelumnya yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa.”
Al-Baqarah: 183

Dalam ayat tersebut,jelas menunjukkan bahawa puasa di bulan Ramadhan merupakan satu amalan wajib yang perlu dilaksanakan oleh setiap umat Islam. Hal ini turut terbukti apabila PUASA ditetapkan sebagai salah satu Rukun Islam,iaitu rukun yang ketiga. Sekiranya diteliti secara mendalam, perintah terhadap amalan berpuasa mempunyai 2 fungsi, iaitu:

1. Puasa sebagai satu ujian
2. Puasa sebagai satu rahmat

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah,nescaya Allah akan jauhkan mukanya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (muttafaq alaih)


Berpuasa, maknanya menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Namun begitu, sepertimana yang kita telah maklum, berpuasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi juga menahan diri daripada perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Jika kita halusi dan dalami maknanya, 'PUASA' mengandungi sejuta makna beserta hikmahnya. Dalam erti kata lain, ketika berpuasa, umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Hal ini demikian kerana puasa merupakan medan latihan untuk memupuk sikap sabar, jujur serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara tidak langsung amalan puasa akan mewujudkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik yang dilakukan sepanjang bulan ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Sekarang, jom kita semak perkara-perkara tidak boleh dilakukan semasa berpuasa, perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, perkara-perkara yang disunatkan dan fadhilatnya di bulan Ramadhan.

Antara perkara yang boleh membatalkan puasa:

1. Makan dan minum dengan sengaja (walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi)

2. Muntah dengan sengaja

3. Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja

4. Keluar darah haid atau nifas

5. Gila (hilang akal)

6. Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.

7. Murtad (keluar dari Islam)

8. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya. Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara ke dalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga (dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).

Perkara-perkara yang sunat dilakukan :

1. Makan sahur serta melambatkannya

2. Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air

3. Menjamu orang-orang berbuka puasa

4. Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan.

Sekiranya diteliti secara mendalam, perintah terhadap amalan berpuasa mempunyai 2 fungsi, iaitu:

1. Puasa sebagai satu ujian
2. Puasa sebagai satu rahmat


Fadhilat Berpuasa di bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya’ban bagi menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.
-Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.
– Diriwayat oleh imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud :
Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.
– Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).
-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.
-Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi

Penerangan Hadis

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.


- Ingat, Orang Islam, berakal (tidak sah jika gila atau kanak2 belum mumayyiz), suci daripada haid dan nifas, dan berpuasa dalam waktu yang dibolehkan berpuasa (bukan dalam tempoh haram puasa) adalah syarat sah puasa itu diterima di dalam Islam.

Okeylah, sampai di sini saja peringatan untuk kali ini.
Sebelum berpuasa tu, jangan lupa rukun puasa:

1. Berniat pada malam harinya
2. Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.

Selamat menyambut ramadhan al Mubarak =)

Sumber:

http://mohdapih.com/blog
http://ms.wikipedia.org
Risalah Puasa dan Ramadhan

Salam Ramadhan,
Tinta Jiwa

No comments: