Friday, October 28, 2011

Sahabatku, Teruskan Perjuangan Kalian.

Sahabat, aku mencintaimu kerana Rasulullah memerintahkan aku mencintaimu. Sahabat, sesungguhnya tidak beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.


Sahabat…

Dengarkan wahai sahabat kerana engkaulah sahabatku.

Terima kasih atas persahabatan ini…


Sahabat…

Maafkan aku sahabat,

Aku lupa amanah ku,

Aku lupa akan tanggungjawabku,

Aku lupa…

Maafkan aku sahabat…

Aku terlalai dalam ukhuwwah ini…

Aku terlupa akan tujuan ikatan ukhuwwah ini,

Maka bantulah aku memperbetulkan apa yang perlu kita perbetulkan…

Sungguh ku tak ingin kita terlalu leka dalam bahagia ini…


Sahabat..

Kerana engkau adalah sahabatku,

Dan aku sahabatmu,

Ayuh sahabat,

Kita pulang pada-NYA,

Kita pulang pada seruan ILAHI,

Ayuh sahabatku,

Kita bersahabat pada jalan-Nya!!


Duhai sahabat yang sangat aku cintai…

Ketahuilah bahawasanya jalan yang kita lalui ini bukan jalan yang indah dan mudah. Terlalu banyak onak duri yang perlu kita pijak di sepanjang perjalanan ini. Jalan ini matlamatnya besar dan mengagumkan. Tapi, sungguh tidak dapat aku janjikan kepadamu jalan ini akan senang kau lalui. Perjuangan yang berterusan dengan azam kuat perlu kita bayar sebagai maharnya… Ya, keperitan dalam usaha yang kita perjuangkan itulah nanti yang akan memberikan kita kemanisan yang berpanjangan jika segalanya ikhlas kerana Allah. Tapi janganlah pula kita terlalai dengan tanggungjawab kita kepada-Nya bila mana semangat kita terlalu utuh dalam perjuangan ini. Ingatlah sahabatku, perjuangan kita pada hari ini, di dunia ini adalah untuk kehidupan hari esok yang hakiki, yang kita sendiri belum pasti bagaimana kesudahannya.


Sahabat... Kita pernah gagal dalam melaksanakan misi dan visi kita. Tapi jangan sesekali kita jadikannya sebagai alasan yang bisa melunturkan semangat waja kita. Ayuh sahabat, kita teruskan perjuangan yang tersisa tanpa ada lelah yang bersarang di dada kita.


Sahabat… Biar sejuta manusia memandang hina kepada kita.. Asalkan langkah-langkah yang kita aturkan tidak pernah songsang dari aturan-Nya.


Ayuh, kita teruskan perjuangan kita menghirup nikmat ilmu-Nya yang kita raih! Sekalipun manusia memandang sesinis cuma terhadap perjuangan kita, hingga terkadang kita melemah sendiri, terasa rendahnya diri kita berbanding mereka yang ada di luar sana. Ayuh, kita perjuangkan misi dan visi kita! Kita yakinkan diri kita bahawa janji Allah itu pasti untuk hamba-hamba-Nya yang berusaha... Kita buktikan kepada mereka usaha kita tidak pernah sia-sia!!


Sahabatku, ketahuilah… Saidina Ali r.a sendiri telah berpesan "Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan, maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa, maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal."


Lihat!! Lihatlah wahai para sahabatku!!

Ayuh kita terus melangkah!! Jangan pernah ada gentar kerana sesungguhnya kita sedang meniti pada titian yang benar.


Amanah ini untuk kita, sahabatku!! Amanah ini untuk orang seperti kalian!! Tulisanku ini bukanlah kerana aku ingin menggoyahkan semangat wajamu. Tidak sesekali! Tetapi sahabat, yang pasti ingin aku ingatkan janji Allah terhadap orang yang berusaha bersungguh-sungguh hanya kerana-Nya, tanpa mengharapkan balasan dunia semata-mata. Aku ingin mengingatkanmu tentang kasih sayang dan rahmat-Nya terhadap hamba yang diredhai-Nya.


Dalam surah Al-‘Ankabut, ayat 69 Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”



Sahabat,
Tekanan yang kuat dari pengalaman kehidupan sememangnya boleh melemahkan sesiapa sahaja. Tapi bukan engkau!!! Engkau dibina dengan tarbiyah, dihiasi keindahan akhlak kerana itu kau gah berdiri di tapak ini. Berjuang untuk menoktahkan perjuangan yang dimulakan dengan kejayaan. Biar siapa pun engkau, biar apa pun kata orang, kau teruslah menguatkan langkah menyusuri jalan ini... Aku yakin, kerana kau sahabatku.


Sahabat,
Tidak dapat aku janjikan kesenangan di sepanjang perjalanan ini. Tidak dapat aku berikan nama dan pangkat yang layak untuk kita sandang di sini, kerana sesungguhnya kita saling tahu akan getir yang terpaksa kita telan di sepanjang perjuangan ini. Tapi akan ku tawarkan yang lebih baik dari segala itu. Akan ku berikan doaku semoga kau teguh dalam jalan ini. Akan aku bersama kau melangkah membawa azam dan impian dalam jalan ini. Akan aku luka dan berdarah bersama kau. Kerana kita saudara yang dipertemukan-Nya di sini, saling mencintai kerana-Nya.


Sungguh aku bersamamu,sahabat…

Kerana kaulah sahabatku…

~TJ

28/10/2011

No comments: